SEJARAH DAN KEISTIMEWAAN | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » SEJARAH DAN KEISTIMEWAAN

SEJARAH DAN KEISTIMEWAAN

Harumanis di Perlis 

Mulai tahun 1979 hingga tahun 1982, Projek Baik Pulih Dusun telah diperkenalkan. Pendekatan projek ini ialah pembangunan tanah pertanian mengikut kampung. Pokok-pokok yang tidak memberi pulangan ekonomi ditebang dan digantikan dengan tanaman buah-buahan dengan tumpuan tanaman mempelam Harumanis. Tanah yang dibangunkan melibatkan kawasan di keliling rumah dan lot-lot tanah dalam kawasan kampung yang dipilih. Antara Projek Baik Pulih Dusun tanaman mempelam Harumanis ialah di kampung Santan, Padang Pauh, Perlis

Pembangunan tanaman mempelam Harumanis lebih digiatkan mulai tahun 1983 di bawah pengurusan perladangan secara berkelompok dengan pembukaan kawasan baru melibatkan kawasan hutan, belukar dan tanah terbiar. Antara projek perladangan berkelompok yang dilaksanakan Projek Kelompok Paya Kelubi dan Projek Kele Bukit Kedak.

Bagi menyokong pembangunan industri Harumanis, Jabatan Pertanian telah membuka ladang mempelam Harumanis sendiri di Kompleks Pertanian Bukit Temiang dan di Pusat Pertanian Bukit Bintang sebagai ladang demonstrasi tanaman mempelam Harumanis negeri Perlis dan sebagai pusat rujukan teknologi mempelam Harumanis.

Apabila Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Negeri Perlis (IADP) mula dilaksanakan di negeri Perlis pada tahun 1986 hingga Oktober 1993, salah satu program utama projek IADP Perlis ialah Pembangunan Kawasan Pertanian Dengan Tanaman Buah-Buahan. Mempelam Harumanis diberi tumpuan dengan peruntukan yang besar melibatkan pembangunan kawasan projek termasuk kemudahan prasarana ladang seperti sistem pengairan, jalan ladang, perparitan, pusat pengumpulan ladang/pusat projek dan prasarana pasaran serta promosi pasaran Harumanis. Penekanan pengurusan projek adalah secara mini estet dan perladangan secara berkelompok.

Di bawah projek IADP Perlis, keluasan tanaman mempelam Harumanis telah mencapai kira-kira 1,200 ha. pada tahun 1990 menjadikan keluasan mempelam negeri Perlis seluas 1,667 ha. Pada tahun 2006, keluasan Harumanis menurun kepada kira-kira 150 ha. Masalah utama ialah pokok-pokok Harumanis diserangi musuh dan penyakit dan kebun ditinggal terbiar disebabkan sikap pengusaha-pengusaha sendiri yang tidak mengurus ladang mereka dengan sempurna dan tidak sanggup mengeluar modal secukupnya.

Mulai tahun 2007, Jabatan Pertanian menggiatkan pembangunan industri Harumanis dengan meningkatkan khidmat pengembangan di bawah Program Gema Harumanis 2007 dan melalui lawatan khidmat nasihat pegawai pengembangan secara berjadual. Sehingga akhir tahun 2010 seluas 257.9 ha tanaman mempelam Harumanis telah berjaya dibangunkan.

Jabatan Petanian telah mengatur strategi dan kaedah pelaksanaan untuk memesatkan lagi Pembangunan Industri Mempelam Harumanis dengan membangunkan tanah-tanah terbiar di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan mulai tahun 2008 dan Projek Kawasan Pembangunan Tumpuan Pertanian (ACDA) mulai tahun 2009. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian telah melaksanakan Projek Desa Harumanis mulai tahun 2010. Di bawah projek tersebut tanah-tanah kampung di sekeliling rumah akan dibangunkan secara optimum dengan menggalakkan petani-petani menanam mempelam Harumanis mulai tahun 2010 untuk menambah pendapatan mereka dan kegunaan sendiri. Empat buah kampung dirancang pada setiap tahun.

 

Gambar 2-7:  Mempelam Harumanis adalah buah-buahan unik di Perlis dan mendapat penuh perhatian daripada pihak kerajaan negeri. la biasanya dimakan segar dan juga boleh dimakan bersama pulut.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan yang besar kepada Jabatan Pertanian sebanyak RM 1.8 juta setahun berjumlah RM 9 juta. Adalah disasarkan seluas 1,000 ha tanah bagi tanaman Harumanis akan dibangunkan menjelang tahun 2015 dengan purata 200 ha setahun.

Mempelam Harumanis Perlis merupakan klon mangga MA 128 dan merupakan antara baka mempelam terbaik di Malaysia. Mempelam Harumanis Perlis mendapat namanya daripada aromanya yang harum dan rasanya yang manis. Mempelam Harumanis memerlukan musim kemarau iaitu dari Januari hingga Mac untuk berbunga (Stress Period). Musim mempelam Harumanis Perlis adalah singkat iaitu hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun. Faktor ini membuatkan mempelam Harumanis Perlis berbeza dengan mangga lain kerana pengeluaran dan pasaran mempelam Harumanis adalah sangat terhad.

Pokok mempelam Harumanis Perlis mendapat panjagaan yang rapi dan dikawal selia oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis bagi menjaga kualiti buahnya. Jabatan Pertanian telah memperkenalkan pembalut khas yang mempunyai lapisan dalam gelap, di hujungnya pula tersedia dengan dawai bagi memudahkan petani mengikat tangkai buah selepas dibalut dan memberikan hasil mempelam Harumanis yang cukup memuaskan iaitu bersih dan segar.

Sepohon mempelam Harumanis Perlis boleh menghasilkan antara 200 hingga 300 biji buah mangga Harumanis dan akan digredkan mengikut berat menggunakan mesin penggred, kemudian dibasuh dan menjalani rawatan air panas bagi mengelak jangkitan kulat. Setelah kering, buah mempelam Harumanis diperam selama 72 jam dan hanya selepas itu, buah mempelam Harumanis akan digred.

Mempelam Harumanis Perlis adalah unik kerana ia akan mengeluarkan aroma yang harum apabila masak dan isinya berwarna oren kekuningan. Lazimnya mempelam Harumanis Perlis enak dimakan begitu sahaja tetapi boleh juga dimakan bersama pulut dan dijadikan jus untuk minuman istimewa.

Dengan keistimewaan tersendiri dan kualiti yang baik, mempelam Harumanis Perlis telah berjaya mendapat permintaan tinggi di kalangan rakyat Malaysia serta menembusi Pasaran Jepun.

 

Sumber maklumat:

Jabatan Pertanian Negeri Perlis

 

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Info Pertanian Isu 61. 2021

 

Penafian:

Pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat yang ditulis. Ianya tidak bermaksud untuk mencerminkan pendapat atau pandangan ITAFoS.

 

 

 

Tarikh Input: 28/02/2023 | Kemaskini: 28/02/2023 | norshahmimi

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEcFAs~